Dua saksi kes rogol babitkan ADUN Tronoh akan beri keterangan secara tertutup

Bernama
Jun 24, 2021 12:32 MYT
Sebelum ini Paul Yong mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, di kediamannya di Meru Desa Park antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019. - Gambar fail
IPOH: Dua saksi termasuk mangsa kes rogol pembantu rumah membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong, akan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini secara tertutup, mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hasil siasatan inkuiri yang dijalankan, yang mana terdapat keperluan bagi kedua-dua saksi dilindungi sebagaimana kehendak seksyen dalam Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Seksyen 265A Kanun Tatacara Jenayah.
"Identiti kedua-dua saksi akan dilindungi semasa proses perbicaraan secara tertutup dan Seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, akan diguna pakai.
"Kedua-dua saksi terlindung akan memberi keterangan secara tertutup di mahkamah dan hanya boleh dilihat oleh hakim, serta saksi-saksi akan dirujuk sebagai saksi terlindung," katanya pada prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom hari ini.
Abdul Wahab berkata, pengecaman saksi juga hendaklah dilakukan secara tertutup dan identiti saksi terlindung di mana tiada sesiapa pun boleh menyiarkan nama, alamat atau foto saksi terlindung, atau sebarang keterangan yang membawa pengenalan mereka di dalam kes ini dalam apa-apa bentuk.
Bagaimanapun beliau berkata, suara saksi boleh didengari oleh pihak pendakwaan dan peguam tanpa melihat saksi, ketika memberi keterangan.
Kes rogol ADUN | Pendakwaan mohon Akta Perlindungan Saksi 2009
Katanya, mahkamah mengekalkan tarikh perbicaraan pada 12 hingga 16 Julai ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan yang terkini.
Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fitri Sadarudin, manakala manakala pasukan pembelaan terdiri daripada Datuk Rajpal Singh, Salim Bashir dan Phang Yong Nur Sarah.
Pada 28 Mei lepas, Abdul Wahab dilaporkan berkata mahkamah akan membuat inkuiri terhadap kedua-dua saksi dalam kes itu terlebih dahulu, sebelum membuat keputusan berhubung permohonan pendakwaan supaya dua saksi itu memberi keterangan secara tertutup, mengikut Akta Perlindungan Saksi 2009.
Pada 6 April lalu, Pengarah Pendakwaan Perak Datuk Jamil Aripin memaklumkan, dua saksi itu adalah peserta Program Perlindungan Saksi di bawah akta berkenaan dan menyatakan hasrat mereka untuk memberi keterangan secara tertutup, tanpa dilihat tertuduh dan peguamnya serta enggan identitinya didedahkan.
Sebelum ini, mahkamah mendengar keterangan beberapa orang saksi pendakwaan pada perbicaraan bermula pada 5 April lalu.
Paul Yong, 51, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia, di kediamannya di Meru Desa Park antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam pada 7 Julai 2019.
Kes itu sebelum ini disebut di Mahkamah Sesyen, namun pada 15 Dis 2020, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pembelaan supaya kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.
Paul Yong kali pertama didakwa atas pertuduhan itu di Mahkamah Sesyen di sini, pada 23 Ogos 2019 ketika beliau memegang jawatan EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak.
-- BERNAMA
#kes rogol paul yong #kes rogol ADUN Tronoh #Kanun Tatacara Jenayah #rogol #Ipoh #perintah kawalan pergerakan #Mahkamah Sesyen #ADUN #SOP #Mahkamah Persekutuan #rogol pembantu rumah
;