Dua sahabat sesat ketika aktiviti mendaki Bukit Bauk

Wan Zuratikah Iffah Wan Zulkifli
September 30, 2021 07:45 MYT
Seramai 20 anggota pasukan penyelamat dari pelbagai agensi digerakkan ke lokasi pencarian dua mangsa yang sesat dalam hutan. -Astro AWANI
DUNGUN: Dua sahabat berhadapan detik cemas selepas tersesat hampir tiga jam ketika dalam perjalanan pulang dari melakukan aktiviti mendaki di Bukit Bauk, di sini, pada petang Khamis.
Menurut Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias, kedua-dua mangsa berusia 20-an itu dikatakan memulakan pendakian ke puncak bukit yang berketinggian kira-kira 400 meter sekitar jam 9 pagi.
Menurut Azman, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.02 tengah hari daripada salah seorang mangsa yang menyatakan mereka telah sesat ketika dalam perjalanan turun dari puncak bukit.
Seramai 20 anggota pasukan penyelamat dari pelbagai agensi kemudian digerakkan ke lokasi kejadian.
Azman berkata kesemua mangsa ditemukan pada pukul 1.31 petang dalam keadaan selamat pada jarak kira-kira dua kilometer dari laluan asal mendaki.
Kedua-dua mangsa kemudiannya dibawa turun dan dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat orang hilang ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.37 petang.
Azman menasihatkan orang ramai agar melaporkan kepada pihak berkenaan terlebih dahulu sebelum memulakan aktiviti mendaki bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
#sesat #Bukit Bauk #aktiviti mendaki #Azman Alias
;