Dua sahabat mengaku tidak bersalah miliki 'MC' palsu

Raffi Bachik
Disember 14, 2017 19:32 MYT
Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Ayer Keroh, di sini atas pertuduhan memiliki sijil cuti sakit klinik kesihatan palsu.
Dua sahabat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Ayer Keroh, di sini atas pertuduhan memiliki sijil cuti sakit klinik kesihatan palsu.
Tertuduh masing-masing Muhammad Yusran Jusoh, 19 dan Muhammad Raman Omar, 21 membuat pengakuan itu sebaik sahaja kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut lima pertuduhan ke atas Muhammad Yusran, tertuduh yang merupakan penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Melaka didakwa memiliki lima keping sijil cuti sakit palsu dengan niat untuk menggunakan sijil cuti sakit berkenaan sebagai tulen di hadapan Stesen Minyak Petron Peringgit sekitar 9.10 malam, 4 Disember lalu.
Manakala Muhammad Raman yang bekerja sebagai penjaga stor syarikat swasta didakwa atas 10 pertuduhan memiliki 10 keping sijil cuti sakit palsu dengan niat untuk menggunakan sijil cuti sakit berkenaan sebagai tulen sekitar 10.10 malam, pada 4 Disember lalu di sebuah rumah beralamat di Jalan Melati 3, Taman Peringgit Jaya, Melaka.
Justeru, mereka didakwa mengikut Seksyen 474 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Kedua-dua prosiding yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira kesalahan dilakukan mereka adalah serius.
Bagaimanapun, Muhammad Yusran yang diwakili Peguam Fahmy Sulaiman merayu mahkamah untuk mengurangkan jaminan memandangkan anak guamnya masih ditanggung penuh oleh ayahnya yang merupakan pesara kerajaan serta ibu yang tidak bekerja.
Manakala Peguam Belasulaiman Harmain Shah yang mewakili Muhammad Raman turut memohon jaminan yang rendah dengan mengambil kira ini merupakan kesalahan pertama dilakukan tertuduh.
Sejurus mendengar hujahan kedua-dua pihak, Norma pada penghakimannya kemudian menetapkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh untuk kesemua pertuduhan dan menetapkan 15 Januari depan sebagai sebutan semula kes selain turut memerintahkan kes berkenaan disebut secara bersama.
#anak #ayer keroh #dua sahabat #jual MC #kesihatan #mahkamah #penjara #Peringgit #sijil sakit palsu #Taman Peringgit Jaya
;