Dua sahabat maut dilanggar bas

Sinar Harian
April 30, 2024 10:20 MYT
Keadaan motosikal yang rosak teruk akibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 13.5 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan dekat Marang, awal pagi ini. - Foto Polis Marang/Sinar Harian
MARANG: Dua sahabat maut apabila motosikal ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 13.5 Jalan Kuala Terengganu - Kuantan dekat sini pada awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Razman Setapa berkata, lelaki yang berusia 21 tahun bersama pembonceng wanita berumur 18 tahun itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurutnya, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 1.30 pagi tadi melibatkan bas ekspres dan motosikal jenis Modenas.
"Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku semasa bas dipandu dari arah Kuantan menghala ke Kuala Terengganu manakala motosikal yang ditunggang rakan sekampung itu dari arah Medan Jaya menghala ke bandar Marang.
"Apabila sampai di tempat kejadian, motosikal ditunggang mangsa telah bertembung dengan bas ketika keluar dari arah Medan Jaya sehingga menyebabkan pemandu bas itu tidak sempat membrek serta mengelak lalu melanggar motosikal berkenaan.
"Akibat kejadian itu, penunggang bersama pembonceng motosikal tersebut telah mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Razman berkata, kedua mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk bedah siasat dan tindakan lanjut.
Katanya, pemandu dan penumpang bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kejadian tersebut diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohamad Syafiq Amsyar Baharuddin di talian 013- 9195738 atau 09-6182222," ujarnya. - Sinar Harian
#dua sahabat maut #penunggang motosikal maut #bas ekspres #Polis Daerah Marang
;