Dua sahabat lemas ketika berkelah di Air Terjun Batu Berangkai
Abd Razak Mohd Ali
Februari 15, 2022 13:04 MYT
Februari 15, 2022 13:04 MYT
KAMPAR: Dua sahabat lemas ketika berkelah bersama-sama beberapa rakan lain di kawasan air terjun di Kampung Orang Asli Batu Berangkai, dekat sini, hari ini.
Mangsa, Muhammad Fikri Adam Azmi dan Muhammad Amirul Hafidz Ma’asor, kedua-duanya berusia 20 tahun, dari Sabak Bernam, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 10.34 pagi.
“Dua mangsa telah lemas ketika mandi, seorang mangsa telah berjaya dibawa naik oleh orang awam manakala seorang lagi telah ditemui anggota bomba pada 11.22 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu, anggota bomba memakai peralatan khas untuk melakukan operasi pencarian dan berjaya menemui mangsa pada kedalaman tiga meter.
Katanya, kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Zahuri Zainal Abidin tamat jam 11.33 pagi.