Dua sahabat hadapi tuduhan miliki dan edar dadah

Bernama
Oktober 29, 2012 14:41 MYT
Dua sahabat hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan mengedar dan memiliki dadah dua minggu lalu.
Mah Ken Toh, 38, dan Cheng Chee Choong, 40, didakwa mengedar 13 peket plastik berisi dadah Methamphetamine anggaran berat 63.68 gram, di hujung Jalan Gelang, Off Jalan Sungai Besi, dalam daerah Dang Wangi, pada 10.30 malam, 17 Okt lepas.
Kedua-dua penganggur itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Mah dan Cheng juga didakwa memiliki 20 keping foil mengandungi 200 biji pil dadah Nimetazepam, pada waktu dan tempat sama, dan didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suzarika Sahak.
Mahkamah menetapkan 27 Dis depan untuk sebutan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Malini Anne manakala kedua-dua lelaki itu tidak diwakili peguam.
#Dadah #Edar #majistret
;