Dua sahabat direman bantu siasatan kes bunuh di Flat Taman Pauh

Astro Awani
Mac 11, 2020 05:39 MYT
Perintah reman dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Gambar hiasan
Dua lelaki direman selama tujuh hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki di Flat Taman Pauh Indah, Permatang Pauh, pada Isnin malam.
Kedua-dua lelaki berusia 20-an itu dibawa ke mahkamah kira-kira jam 10 pagi dengan menaiki trak polis.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Mohd Mustafa Bidin, perintah reman dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa yang berusia 48 tahun ditemukan dalam keadaan kaki dan tangannya diikat manakala kepala diserkup dengan sarung bantal.
BACA: Dua ditahan bantu siasatan penemuan mayat dalam keadaan tangan, kaki terikat
Mustafa memaklumkan, laporan bedah siasat di Hospital Seberang Jaya mendapati kematian mangsa berpunca daripada kelemasan akibat sukar bernafas.
Setakat ini siasatan lanjut sedang dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi balai polis berdekatan.
#Bukit Mertajam #bunuh #Flat Taman Pauh #ikat kaki tangan #kaki tangan diikat #Kanun Keseksaan #Mahkamah Majistret #mangsa #mayat #Mohd Mustafa Bidin #Permatang Pauh #reman #sarun bantal #Seberang Perai #siasatan