Dua rumah terjejas akibat tanah runtuh

Sinar Harian
April 12, 2018 09:49 MYT
Penghuni rumah terbabit terdedah bahaya berikutan hakisan pada struktur tanah di bahagian belakang rumah mereka. - Foto Sinar Harian
Dua buah rumah di Jalan 5/60A, Taman Desa Segambut Tengah terjejas berikutan kejadian tanah runtuh yang berlaku selepas hujan lebat pada hari Isnin lalu.
Penduduk, Salina Sadeli, 33 tahun, berkata, kejadian itu menyebabkan cerun di belakang rumah kediaman mereka runtuh dan menjejaskan sistem perparitan.
“Sebelum ini tak ada masalah yang berlaku namun selepas penduduk yang menetap di bawah kediaman kami ini membuat pengubahsuaian pada rumahnya, struktur tanah sudah tidak kuat dan apabila hujan lebat ia menyebabkan berlakunya hakisan dan tanah runtuh,” katanya.
Salina berkata, dia yang tinggal di rumah tersebut bersama empat lagi ahli keluarga terdedah bahaya berikutan hakisan mula memberi kesan kepada struktur tanah di bahagian belakang rumahnya.
Malah, menerusi pemeriksaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini juga mendapati bahagian belakang rumah kediaman itu sudah tidak selamat untuk diduduki.
“Pihak DBKL yang datang ke lokasi selepas kejadian tanah runtuh itu telah menjelaskan bahawa bahagian belakang rumah kami sudah tidak selamat dan mereka menyarankan agar kami hanya menggunakan bahagian ruang hadapan sahaja,” katanya.
Seorang lagi penduduk, P. Sankaran, 50 tahun, mula merasa risau dengan keselamatan ahli keluarganya susulan daripada kejadian tersebut.
Sankaran berkata, DBKL telah menutup cerun runtuh tersebut dengan menggunakan plastik bagi menggelakkan sebarang kejadian tidak dingini.
“Pihak yang membuat pengubahsuaian di bahagian bawah rumah kami telah menyebabkan struktur tanah tidak kuat dan ini mengakibatkan tanah runtuh berlaku pada waktu hujan,” katanya.
Sementara itu, calon Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, pihaknya akan memanjangkan permasalahan itu kepada DBKL, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) dan Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan agar tindakan sewajarnya diambil.
Hannah berkata, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat lanjut punca sebenar berlakunya hakisan dan tanah runtuh.
“Dalam masa yang sama, DBKL juga perlu mengkaji sama ada rumah ini masih selamat untuk diduduki atau pun tidak,” katanya.
#DBKL #sistem perparitan #struktur tanah #Taman Desa Segambut Tengah #tanah runtuh
;