Dua rumah teres sederet terbakar di Bidor, suami isteri melecur

Astro Awani
Mei 2, 2020 08:00 MYT
JBPM Perak menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada pukul 2.44 pagi. - Foto JBPM
Sepasang suami isteri melecur apabila dua buah rumah teres sederet di Taman Sri Bidor di sini terbakar awal pagi ini.
R Subramaniam, 55 tahun, dan isterinya, S Annama, 41 tahun, melecur kira-kira empat peratus di bahagian badan, dihantar ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.44 pagi.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah kelas A berkeluasan 20 X 70. Rumah pertama musnah 60 peratus manakala rumah kedua 20 peratus melibatkan bahagian bilik dan perkakasan rumah,” katanya
Menurutnya, bomba menggunakan dua aliran hosreel dan satu aliran hos 100 kaki dari jentera bagi memadamkan kebakaran dengan teknik ‘offensive’ dan ‘defensive’.
Operasi yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Muhamad Ashraf Mat Isa tamat pada pukul 3.25 pagi.
#Bidor #bomba #Hospital #Hospital Tapah #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM Perak #kebakaran #operasi #rumah teres #Taman Sri Bidor
;