Dua rumah terbakar, nenek dan dua cucu melecur

Abd Razak Mohd Ali
Mei 7, 2020 06:53 MYT
Kebakaran di rumah pertama melibatkan kemusnahan 90 peratus sementara sebuah kereta musnah 70 peratus. - Foto JBPM Perak
Tiga sekeluarga melecur dalam kebakaran dua buah rumah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Sun Wah, Jalan Dato Sagor, di sini, awal pagi ini.
Mangsa, wanita berusia 72 tahun, bersama anaknya yang berusia 52 tahun dan seorang cucu berusia 6 tahun - kedua-duanya lelaki - melecur antara 2.5 peratus dan 9 peratus .
Seorang lagi cucu lelakinya yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan ringan.
Kesemua mereka dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk menerima rawatan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bomba Malaysia (JBPM) Negeri Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 2.53 pagi.
“Kebakaran melibatkan dua buah rumah kelas B. Rumah pertama musnah 90 peratus dan sebuah kereta Proton Saga musnah 70 peratus.
"Manakala rumah kedua musnah 20 peratus, melibatkan bumbung dan siling,” katanya di sini.
Penghuni rumah kedua, yang merupakan seorang anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, serta isterinya, terselamat.
Menurut jurucakap itu, operasi pemadaman menggunakan satu aliran hos dua pancutan air dari tangki air jentera bomba sehingga kebakaran dipadamkan sepenuhnya.
Operasi yang diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Taufiq Abd Satar tamat kira-kira jam 4 pagi.
#bomba #cucu #JBPM #kebakaran #Kuala Kangsar #melecur #nenek #rumah
;