Dua rumah musnah dalam kebakaran awal pagi di Langkap

Abd Razak Mohd Ali
Mei 21, 2024 09:10 MYT
Kebakaran di Jalan Kampung Degong, Langkap, awal pagi ini, melibatkan dua buah rumah kelas B dengan keluasan kira-kira 20 X 70 kaki yang musnah dalam anggaran 85 peratus. - Foto JBPM Perak
TELUK INTAN: Dua buah rumah di Jalan Kampung Degong, Langkap, dekat sini, musnah dalam kebakaran awal pagi ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi
Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada jam 2.58 pagi.
Menurutnya, sebaik menerima panggilan kecemasan, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 27 kilometer dari balai.
“Setibanya jentera bomba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan dua buah rumah kelas B musnah terbakar dalam anggaran 85 peratus.
“Kedua-dua buah rumah berkeluasan kira-kira 20 X 70 kaki,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Bagaimanapun, ujarnya, kebakaran tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
Menurut Sabarodzi, operasi pemadaman melibatkan dua aliran 300 kaki, empat pancutan dari bahagian hadapan, kiri dan kanan rumah tersebut.
Katanya, operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Tapah.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II TBK Hanizam Ramli tamat jam 6.09 pagi.
#kebakaran #dua rumah musnah #Jalan Kampung Degong Langkap #Balai Bomba dan Penyelamat
;