Dua rumah di Gurun musnah dalam kebakaran

Adie Sufian Zulkefli
Julai 29, 2024 02:00 MYT
Gambar menunjukkan sebuah rumah musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Guar Chempedak, Gurun, malam tadi. - Gambar ihsan bomba
GURUN: Dua buah rumah sederet musnah dijilat api dalam kejadian kebakaran di Kampung Guar Chempedak, di sini, malam tadi.
Kejadian itu turut menyebabkan sebuah kereta Proton Wira dan dua buah motosikal musnah.
Komander Operasi Kanan Zon 2 Sungai Petani, Penguasa Bomba Johari Bar Azwar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 10.02 malam.
Beliau berkata, operasi disertai dua pasukan Bomba masing-masing dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak dan BBP Yan yang keseluruhannya dianggarkan 18 anggota.
Katanya, operasi turut membabitkan dua jentera, sebuah jentera tangki air berkapasiti 20,000 liter dan sebuah jentera EMRS.
"Malah, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Kota Sarang Semut, Guar Chempedak, Pendang dan Gurun.
"Sebaik tiba di lokasi, didapati tiga buah rumah separa kekal sedang terbakar dan sebuah daripadanya berjaya diselamatkan.
"Dua buah rumah musnah 70 peratus manakala sebuah rumah lagi hanya terbakar lima peratus dan turut membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan dua buah motosikal, " katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, tiada mangsa berada di lokasi kejadian ketika kebakaran berlaku.
Johari berkata, api berjaya dikawal pada jam 10.17 malam dan dipadam sepenuhnya jam 12.47 tengah malam.
Beliau berkata, setakat ini punca dan jumlah kerugian masih disiasat oleh pihak bomba.
"Namun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu," katanya.
#kebakaran #dua rumah musnah #Kampung Guar Chempedak #Gurun Kedah