Dua rentung: Lima suspek direman bantu siasatan kes bakar rumah
Adie Sufian Zulkefli
Januari 22, 2025 19:42 MYT
Januari 22, 2025 19:42 MYT
ALOR SETAR: Lima lelaki direman enam hari bagi membantu siasatan kes kematian dua lelaki yang ditemukan rentung di dalam sebuah rumah di Tongkang Yard, semalam.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali, bermula hari ini sehingga 27 Januari ini bagi polis melengkapkan siasatan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, kelima-lima suspek ditahan sejurus selepas kejadian.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas siasatan lanjut polis bersama bomba menemukan bahan api yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
Katanya ini susulan siasatan mendapati terdapat bau petrol dan botol mineral yang mengandungi separuh bahan api itu di tempat kejadian.
Katanya, tiga suspek utama didapati positif dadah manakala dua daripada mereka memiliki rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Semalam, Astro AWANI melaporkan, seorang warga emas, Ibrahim Mydin, 61, dan anak angkatnya, Muhammad Muslim Mohd Zaini, 23, ditemukan rentung dalam kebakaran terbabit.
Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.51 pagi, semalam melibatkan kebakaran rumah kelas B jenis separa kekal yang dimiliki Ibrahim.