Dua remaja tidak mengaku salah baling molotov koktail ke surau Damansara Damai
Astro Awani
November 29, 2017 18:50 MYT
November 29, 2017 18:50 MYT
Dua remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kebinasaan terhadap Surau Al-Huda, di Damansara Damai di sini pada 19 November lalu.
Tertuduh, D Tibanraj dan R Darshan, masing-masing berusia 19 tahun dan tidak bekerja, memohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Tibanraj dan Darshan didakwa melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kebinasaan ke atas Surau Al-Huda Apartment Impian Damansara Damai, di sini, jam 6.10 pagi, pada 19 November lalu.
Pendakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu semasa prosiding, pihak pendakwa raya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.
Bagaimanapun peguambela tertuduh memohon agar ikat jamin dibenarkan dengan alasan ketika kejadian kedua-dua tertuduh berada dalam keadaan mabuk.
Hakim Hilmiah Yusof kemudian membenarkan tertuduh, masing-masing diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 10 Januari depan untuk sebutan semula kes.