Dua remaja terperangkap di kawasan air terjun berjaya diselamatkan
Abd Razak Mohd Ali
September 26, 2021 21:04 MYT
September 26, 2021 21:04 MYT
KAMPAR: Dua remaja, masing-masing berusia dalam lingkungan 19 dan 20 tahun yang terperangkap di seberang Air Terjun Batu Berangkai, dekat sini, hari ini, berjaya diselamatkan.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 6.24 petang tadi.
Katanya, mangsa terperangkap di seberang sungai air terjun itu kerana arus deras.
“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian mencari jalan alternatif yang membolehkan mereka sampai kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut jurucakap itu lagi, mereka berjaya mendekati mangsa menggunakan trek lain, seterusnya membawa mereka ke ‘staging area’ berhampiran.
Katanya, kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shahriman Mohamed Yusoff ditamatkan jam 7 malam.