Dua remaja mengaku salah rosakkan kereta berhampiran Balai Polis Serdang

Bernama
Jun 7, 2024 17:54 MYT
Majistret menetapkan 8 Ogos ini untuk jatuh hukum bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). - Gambar hiasan
PETALING JAYA: Dua remaja yang ditahan kerana disyaki membaling pasu bunga ke arah pagar Balai Polis Serdang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan khianat, minggu lepas.
Majistret Farah Azura Mohd Saad menetapkan 8 Ogos ini untuk jatuh hukum bagi menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Mengikut pertuduhan, dua remaja berusia 17 tahun itu didakwa melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kenderaan milik seorang lelaki sehingga mengakibatkan kerugian RM500 di tepi jalan hadapan Balai Polis Serdang di sini pada 6.30 pagi, 2 Jun lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur'ain Madihah Zulkifli manakala dua pesalah juvana itu diwakili peguam Muhammad Amirul Mukminin Mohd Sufian.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner A A Anbalagan dilaporkan berkata kedua-dua suspek itu ditahan kerana disyaki membaling pasu bunga ke arah pagar Balai Polis Serdang.
Menurut Anbalagan, dengan dipandu arah oleh kedua-dua suspek, polis merampas serpihan batu atau pasu yang digunakan dalam tiga kejadian khianat termasuk kes khianat terhadap pagar balai polis itu.
-- BERNAMA
#remaja #baling pasu bunga #balai polis serdang #mahkamah
;