Dua remaja memancing ditemukan lemas
Afiezy Azaman
Ogos 22, 2023 09:00 MYT
Ogos 22, 2023 09:00 MYT
KUALA LUMPUR : Dua remaja lelaki yang hilang ketika keluar memancing di perairan Kiamsam, Labuan, ditemukan lemas lewat petang, pada Isnin.
Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh, mangsa pertama, Yassin Jhonal, 20, ditemui jam 5.20 petang dan Mohd Shah Nadzmin, 19, ditemui dua minit selepas itu.
Katanya, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Jeti Kastam, Kiamsam untuk mengkoordinasikan CARILAMAT bersama agensi sahabat dan komuniti maritim.
"Bot Kilat 40 milik Maritim Malaysia telah ditugaskan untuk ke lokasi kejadian untuk pencarian awal dan kawasan pencarian meliputi keluasan seluas 4 batu nautika persegi sekitar perairan pantai Kiamsam
"PHC melaporkan penemuan mayat pertama anggaran posisi 0.5 batu nautika dari Pantai Kiamsam sekitar pukul 5.20 petang semalam.
"Lokasi penemuan mayat kedua pula dijumpai lebih kurang 10 meter dari mayat pertama pada pukul 5.22 petang," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Nudin berkata, kedua-dua mayat mangsa ditemui oleh bot nelayan tempatan dan dibawa
oleh pihak JBPM ke PHC.
Katanya lagi, keluarga mangsa telah dihubungi bagi proses pengecaman dan kedua-dua mayat telah dibawa oleh pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Maritim Malaysia ingin menyeru orang awam untuk sentiasa menjaga keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan apabila keluar ke laut kerana dapat menyelamatkan nyawa jika berlaku kecemasan," ujarnya.