Dua remaja maut motosikal bertembung awal pagi

Shuhada Abdul Kadir
November 6, 2022 12:54 MYT
Kedua-dua mangsa kemudian bertembung sesama sendiri dan sebelum terjatuh dan disahkan maut di lokasi berkenaan. - Foto PDRM
MELAKA TENGAH: Dua remaja termasuk seorang pelajar Tingkatan Tiga maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dalam kejadian di Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.18 pagi itu, mangsa Khairul Nizam Sham, 18, dan Muhammad Amirul Hadi Norizan, 15 disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila kedua-dua mangsa yang masing-masing datang dari arah bertentangan telah bertembung sebelum terjatuh.
“Kejadian itu berlaku apabila Khairul Nizam yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y-15 sedang dalam perjalanan dari arah Tanjung Beruas ke Tangga Batu manakala mangsa kedua yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dari arah bertentangan.
“Kedua-dua mangsa kemudian bertembung sesama sendiri dan sebelum terjatuh dan disahkan maut di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut katanya, mayat kedua-dua mangsa dibawa Unit Forensik, Hospital Melaka untuk proses bedah siasat manakala kenderaan terbabit dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya pihaknya juga sedang menyiasat sama ada berlaku aktiviti lumba haram sehingga menyebabkan kemalangan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#remaja maut #Pantai Puteri #motosikal bertembung #kemalangan maut
;