Dua remaja lemas dihanyut arus di Sungai Meluan
Rudi Affendi Khalik
Oktober 2, 2023 08:40 MYT
Oktober 2, 2023 08:40 MYT
SIBU: Dua rakan karib lemas setelah dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Meluan, Kubu Brooke, di Julau pada Ahad.
Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Henderi Ardimanshah ketika mengesahkan kejadian berkata, insiden berlaku sekitar jam 3 petang.
"Bomba menerima panggilan kecemasan daripada Balai Polis Julau sekitar jam 3.50 petang dan segera mengatur gerak empat anggota ke lokasi dari Balai Bintangor untuk mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat.
Katanya lagi, saksi kejadian, Jiram Janting, bapa kepada salah seorang mangsa memaklumkan mereka sedang beriadah mandi-manda sebelum kejadian berlaku sekitar jam 3 petang.
"Salah seorang daripada mangsa iaitu Abdul Rezan Abdul Jalil, 15, cuba untuk menyeberangi sungai tersebut tetapi gagal dan lemas.
"Melihat rakannya terkapai-kapai dibawa arus, mangsa kedua iaitu Ferdinand Raymond Jiram, 16, cuba menyelamatkan tetapi turut hanyut.
Operasi SAR, kata Henderi, dilaksanakan menggunakan teknik 'water surface searching' di sekitar 200 meter dari tempat mangsa kali terakhir dilihat.
Turut serta pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.
"Mangsa pertama Abdul Rezan, berjaya ditemui pasukan SAR pada jam 5.47 petang kira-kira 20 meter dari tempat mangsa tenggelam, manakala sekitar jam 8.30 malam, mangsa kedua, Ferdinand, ditemui penduduk sekitar 50 meter dari lokasi terakhir dilihat.
Mayat kedua-dua mangsa katanya lagi, telah diserahkan kepada pihak polis untuk prosedur selanjutnya.