Dua remaja lemas dalam insiden pondok jeti runtuh di Semporna
Astro Awani
Mei 3, 2022 15:36 MYT
Mei 3, 2022 15:36 MYT
SEMPORNA: Dua remaja lelaki maut selepas terjatuh dalam kejadian runtuhan pondok jeti di Kampung Gading-Gading, Semporna pada petang Isnin.
Menurut, Ketua Polis Daerah Semporna, Superitendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata pihaknya menerima makluman daripada anggota Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) sekitar jam 4 petang.
"Berikutan kejadian itu, kesemua remaja berusia antara 11 tahun hingga 19 tahun yang berada di pondok berkenaan jatuh ke dalam laut.
"Enam remaja yang terdiri dari empat lelaki dan dua perempuan berumur antara 11 hingga 19 tahun berjaya diselamatkan pihak polis dengan bantuan orang kampung.
"Manakala, dua remaja lelaki (warga asing) masing-masing berumur 14 dan 19 tahun tidak ditemui dan dikhuatiri lemas," katanya.
Hasil daripada pencarian, dua remaja berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri jam 4.30 petang dan diberikan bantuan pernafasan.
Namun, kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan pada jam 5.30 petang.
Susulan kejadian katanya, polis kini membuka kertas siasatan bagi menyiasat punca runtuhan pondok berkenaan.
Polis turut mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut.