Dua remaja lelaki lemas di Sungai Segamat
Bernama
September 11, 2020 06:19 MYT
September 11, 2020 06:19 MYT
Dua remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam Sungai Segamat, dekat sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Segamat Supt Raub Selamat berkata, kedua-dua remaja berkenaan masing-masing berusia 13 dan 15 tahun itu merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seg Hwa di Tahang Rimau.
"Menurut rakan mangsa, kedua-dua mereka berada di kawasan itu untuk bersiar-siar sambil bermain permainan video di telefon bimbit, namun kemudian tergelincir dan jatuh ke dalam sungai.
"Sehubungan itu, kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) kerana tiada unsur jenayah dikesan," katanya ketika dihubungi, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Baru Segamat, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Syed Putra Syed Mohd Al Atas menerusi kenyataan berkata, mangsa yang dikenali sebagai Tey Shan Shui dan Tan Kah Chun ditemukan pihaknya pada pukul 5.20 petang Jumaat.
Beliau berkata bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan teknik 'surface and searching' melibatkan radius lebih kurang 10 meter di sungai itu, sebelum berjaya menemukan kedua-dua mangsa pada kedalaman kira-kira dua meter dari dasar sungai dengan jarak hanya tiga meter dari kawasan tebing.
"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan sejurus menerima panggilan kecemasan pada 4.22 petang. Ia melibatkan seramai 16 anggota termasuk daripada BBP Segamat bersama satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan Fire Rescue Tender (FRT).
"Menurut maklumat diperoleh, kedua-dua mangsa bersama tiga lagi rakan ketika kejadian," katanya.
-- BERNAMA
#BBP Bandar Baru Segamat
#bersiar-siar
#bomba
#lemas
#mangsa
#operasi
#panggilan kecemasan
#permainan video
#Raub Selamat
#SAR
#Segamat
#SMK Seg Hwa
#Sungai
#Sungai Segamat
#Telefon bimbit
#tergelincir