Dua remaja curi duit tabung masjid diberkas polis

Sinar Harian
Ogos 3, 2023 10:50 MYT
Tangkap layar rakaman CCTV menunjukkan dua suspek menyelongkar bilik imam di sebuah masjid di Guar Chempedak.
YAN: Polis berjaya memberkas dua remaja yang disyaki mencuri duit tabung masjid di Guar Chempedak di Kampung Kabu 10, Jalan Sungai Limau Dalam pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, tangkapan ke atas remaja berusia 15 dan 19 tahun itu dilakukan di hadapan sebuah rumah kira-kira jam 6.30 petang.
Menurutnya, hasil pemeriksaan telah menemui telefon bimbit milik masjid yang dicuri selain kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam dua kes curi duit tabung masjid di sekitar Guar Chempedak.
"Pemeriksaan ke atas tubuh badan salah seorang suspek pula telah menjumpai dua peket plastik lutsinar berisi hablur/ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu daripada dalam poket sebelah kiri seluar yang dipakai," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, tangkapan dan barang rampasan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Yan untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, Shahnaz berkata, peperiksaan lanjut mendapati suspek berusia 19 tahun positif dadah jenis Methamphetamine manakala seorang lagi negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan selain siasatan lanjut dilakukan kerana memiliki dadah.
Sebelum ini tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan dua lelaki sedang menyelongkar bilik imam dan mencuri duit tabung masjid di Guar Chempedak.
Difahamkan, suspek sempat melarikan wang tunai berjumlah RM1,500 yang disimpan dalam laci, RM400 dalam sebuah tabung besi dan RM100 dalam sebuah tabung harian.
Kejadian disedari ahli jawatankuasa masjid yang tiba untuk membuat persiapan solat subuh kira-kira jam 5.30 pagi keesokan harinya.
Semakan CCTV mendapati, kedua-dua remaja itu memecah masuk masjid sekitar jam 11.19 malam sebelumnya. - Sinar Harian
#curi duit tabang masjid #remaja #CCTV #Telefon bimbit