Dua remaja bermotosikal dari KL maut dari kemalangan
Bernama
Disember 31, 2016 23:21 MYT
Disember 31, 2016 23:21 MYT
Dua remaja lelaki yang bermotosikal dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang untuk meraikan sambutan tahun baharu, maut dalam kemalangan di Kilometer 159.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Supt Shafee Abdul Samad berkata mangsa yang maut adalah Mohamad Syahizad Shah Dali, 21, dan Azmirul Shafiq Azmi, 15.
Menurutnya dalam kemalangan pukul 12.16 tengah malam itu, kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Dinamik maut di tempat kejadian selepas terlanggar belakang sebuah treler.
"Treler itu dari arah Ipoh, Perak menghala Juru membawa muatan besi. Sebuah motosikal terlanggar bahagian kiri treler, kemudiannya satu lagi motosikal yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar kenderaan berkenaan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata kedua-dua motosikal itu jatuh di lorong kecemasan di kiri lebuh raya sebelum terseret kira-kira 20 meter.
Shafee berkata penunggang yang masing-masing masih menuntut itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala serta badan.
Katanya mayat dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga masing-masing dan dibawa pulang ke Nilai, Negeri Sembilan serta Puchong, Selangor.
Sementara itu, seorang anggota keluarga mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Rozita berkata hampir setiap tahun Mohamad Syahizad ke Pulau Pinang untuk menyambut tahun baharu bersama rakan-rakannya.
Katanya sebelum bertolak kira-kira pukul 4 petang semalam, arwah terlebih dahulu memaklumkan kepada ibu bapanya dan begitu gembira mahu ke negeri itu.
"Jenazah akan dibawa balik ke Kampung Kondok di Nilai sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam di sana," katanya ketika ditemui di HSJ.
-- BERNAMA