Dua rakyat Malaysia tiba dari luar negara dibawa ke hospital, 1,144 kuarantin di rumah

Hasimi Muhamad
Julai 7, 2020 15:18 MYT
Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat saringan ke atas 13,341 individu di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA sejak 10 Jun hingga 6 Julai. - Astro AWANI/Shahir Omar
Dua rakyat Malaysia yang tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 dibawa ke hospital, pada Isnin.
Sementara, seramai 1,144 individu lagi diarah menjalani proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Jelas beliau, kesemua mereka masing-masing tiba dari Singapura, Indonesia, Jepun, China, Qatar, Australia, Belanda, India dan United Kingdom (UK).
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat 1,083 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuat saringan ke atas 13,392 individu di pintu masuk KLIA sejak 10 Jun hingga 6 Julai.
Daripada jumlah tersebut, seramai 13,341 individu didapati negatif COVID-19 dan sedang menjalankan proses kuarantin wajib di kediaman masing-masing, manakala 51 individu lagi didapati positif dan telah dihantar ke hospital untuk rawatan.
#COVID-19 #Hospital #KKM #KLIA2 #Kuala Lumpur #PDRM #Polis Diraja Malaysia #SOP
;