Dua rakyat Malaysia ditembak di Sungai Golok, seorang maut
Vivi Sumanti
Februari 13, 2019 11:03 MYT
Februari 13, 2019 11:03 MYT
Seorang rakyat Malaysia maut manakala rakannya cedera dalam satu kejadian tembakan di sebuah bengkel kereta di Lorong Pracha Ruam Jai, Jalan Prathan U, mukim Pasir Mas, dalam daerah Sungai Golok, Selatan Thailand, malam tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Sulaimi Mat Ali, 54 tahun, berasal dari jalan Atas Paloh, Kota Bharu.
Mangsa yang cedera dikenali sebagai Muhammad Shahrul Aiman Mohd Abdul Aziz, 18 tahun, dari Jalan Masjid, Kota Bharu.
Dalam kejadian sekitar jam 8. 30 malam waktu tempatan itu, kedua dua mangsa dikatakan ditembak menggunakan senjata jenis Rifle M16 oleh dua individu yang tidak dikenali yang menaiki motosikal.
Menurut laporan pihak berkuasa Thailand, mangsa yang mengalami kecederaan masih dirawat di Hospital Sungai Golok.
Sementara itu, mangsa yang maut ketika mendapat rawatan di hospital sama akan dibawa pulang ke Kota Bharu hari ini.
Ketua Polis Balai Sungai Golok, Supt Supakon Pungros berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian termasuk motif serangan.
"Pihak kami juga sedang mengesan individu yang terlibat dan jumlah suspek sebenar yang terbabit serta motif serangan berkenaan" katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mangsa yang maut itu merupakan pemilik bengkel kereta manakala yang mengalami kecederaan itu dipercayai pekerjanya.
#bengkel kereta
#cedera
#Kota Bharu
#mangsa
#maut
#polis
#rakyat Malaysia
#serangan
#Sungai Golok
#suspek
#tembakan
#Thailand