Dua rakyat Malaysia ditahan cuba seludup dadah di Bali

Astro Awani
Oktober 28, 2016 21:36 MYT
Muhammad Shahzadi (kiri) dan Aliff Affan (kanan) diiringi pegawai kastam bagi menghadiri sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai International Airport di Bali pada 28 Oktober, 2016. - Foto AFP
Pegawai Kastam dan Eksais di Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai di Denpasar, Bali, menahan dua rakyat Malaysia kerana cuba menyeludup dadah ke pulau peranginan itu, menurut laporan Jakarta Post hari ini.
Aliff Affan Azhar dan Muhammad Shahzadi Shariff dilaporkan ditangkap sebaik tiba di lapangan terbang itu dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines MH 851 dari Kuala Lumpur pada 20 Oktober.
Ketua Kastam dan Eksais Ngurah Rai Budi Harjanto berkata, pegawainya menemui 70.67g ganja, 2.89g methamphetamine kristal, 15 pil ekstasi dan 150 pil nimetazepam (Happy 5) pada mereka.
"Mereka didakwa menyembunyikan ganja itu di dalam stokin. Sementara meth kristal, pil ekstasi dan Happy 5 ditemui di dalam bagasi Aliff," kata Budi pada satu sidang media Jumaat.
Akhbar Indonesia itu memetik beliau berkata, kedua-dua suspek menunjukkan tingkah laku yang mencurigakan apabila bagasi mereka melalui mesin X-ray.
Pegawai-pegawai Kastam dan Eksais itu kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut pada beg mereka dan turut menjalankan pemeriksaan badan ke atas kedua-dua suspek.
Polis Bali bahagian dadah dilaporkan bersedia untuk meneruskan siasatan memandangkan kedua-dua suspek dan bahan bukti telah diserahkan oleh pegawai kastam kepada polis pada Jumaat.
Jika didapati bersalah, masing-masing suspek boleh dikenakan hukuman maksimum 15 tahun penjara dan denda Rp 10 bilion (US$765,404).
Mereka akan didakwa kerana melanggar Artikel 113 (1) undang-undang narkotik 2009.
#Bali #Dadah #Lapangan Terbang Antarabangsa I Gusti Ngurah Rai #rakyat Malaysia
;