Dua rakan terlepas hukuman mati, dibebaskan tuduhan edar dadah
Bernama
Mac 14, 2025 17:36 MYT
Mac 14, 2025 17:36 MYT
Mereka dilepaskan dari tuduhan mengedar lebih 32.15 kilogram dadah selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Dua lelaki yang berdepan pertuduhan mengedar lebih 32.15 kilogram dadah lima tahun lepas, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.
Ringkasan AI
- Dua lelaki, Muhammad Aufa Bonadi dan Abbas Ahmad, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi kerana pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dalam kes pengedaran dadah.
- Mahkamah mendapati tiada bukti yang mengaitkan tertuduh dengan bot yang menyimpan dadah, serta kelemahan dalam kes pendakwaan termasuk kegagalan mengenal pasti pemilikan telefon bimbit yang disita.
- Kedua-dua tertuduh didakwa mengedar 32,152 gram methamphetamine di dalam sebuah bot berhampiran inap desa di Kota Tinggi pada 22 Mei 2020, di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pesuruhjaya Kehakiman Kan Wen Hin membuat keputusan itu selepas mendapati Muhammad Aufa Bonadi, 28, dan Abbas Ahmad, 35, tidak mempunyai kaitan dengan bot yang menyimpan dadah terbabit kerana bot itu ditinggalkan di sebuah inap desa oleh seorang warga Indonesia pada 18 Mac 2020, dua bulan sebelum tertuduh ditangkap.
"Bot itu ditinggalkan di kawasan terbuka selama dua bulan. Pada 19 Mei (2020), tertuduh menyewa inap desa berkenaan yang tidak berpagar dan tidak berpengawal, jadi sesiapa sahaja mempunyai akses terhadap bot terbabit.
"Tiada bukti menunjukkan kedua-dua tertuduh berada di kawasan berkenaan sebelum itu," kata Kan dalam penghakimannya.
Mahkamah juga mendapati terdapat banyak kelemahan dalam kes pendakwaan termasuk kegagalan mengenal pasti pemilikan tiga telefon bimbit yang disita dan memutuskan rantaian bukti berkaitan pengendalian dadah yang dirampas.
"Tiada dokumen pendaftaran stor dikemukakan kepada mahkamah, Oleh itu, selepas menilai kes secara menyeluruh, tertuduh dilepaskan dan dibebaskan," kata Kan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Muhammad Aufa dan Abbas didakwa mengedar 32,152 gram methamphetamine di dalam sebuah bot berhampiran inap desa di Jalan Selar, Telok Sengat, Kota Tinggi kira-kira 12.10 tengah hari pada 22 Mei 2020.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Perbicaraan yang bermula pada 19 Nov 2023 menyaksikan pihak pendakwaan memanggil 11 saksi. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Umar Faiz Abdul Kahar.
Muhammad Aufa diwakili peguam Fairuz Elias Majid manakala Abbas dibela peguam Datin Freda Sabapathy dan Sarawanan Kumar.
-- BERNAMA