Dua rakan maut kenderaan bertembung
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 5, 2020 15:38 MYT
Oktober 5, 2020 15:38 MYT
ALOR GAJAH: Dua rakan maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Kemuning, Pulau Sebang, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, mangsa, Fikry Effendi Ahmad Razali, 27, dan rakannya, Nurul Shamira Mohd Rajuna, 24, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan mendapati ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang menaiki kereta jenis Daihatsu Charade dalam perjalanan dari arah Hutan Percha ke Simpang Ampat sebelum bertembung dengan sebuah kereta Proton Waja dipandu seorang kontraktor.
Setibanya di tempat kejadian, pemandu Daihatsu Charade dipercayai gagal mengawal kenderaan ketika melalui selekoh sebelum berpusing dan memasuki laluan bertentangan.
Kejadian itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Proton Waja mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri.
Katanya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan manakala mereka yang maut dihantar ke hospital sama untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#dua rakan maut
#kereta bertembung
#daihatsu Charade
#Proton Waja
#Hutan Percha
#simpang ampat
#Alor Gajah
#Melaka