Dua rakan dipenjara seumur hidup edar methamphetamine
Bernama
Februari 21, 2024 16:00 MYT
Februari 21, 2024 16:00 MYT
KUALA LUMPUR: Dua rakan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar 305.1 gram dadah jenis methamphetamine, tiga tahun lepas.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap Lee Chuen Hoe, 44; dan Chen Kok Kwong, 59; di akhir kes pembelaan.
"Mahkamah mendapati dadah tersebut berada di bawah jagaan dan kawalan tertuduh pertama (Lee) serta tertuduh kedua (Chen) dan mereka mengetahui tujuan dadah tersebut (untuk diedar). Oleh itu, kedua-dua tertuduh didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.
"Tertuduh pertama (Lee) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 kali sebatan manakala tertuduh kedua (Chen) dijatuhi hukuman penjara seumur hidup. Hukuman penjara itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 21 Jun 2021," kata Hakim Muhammad Jamil.
Selain itu, Hakim Muhammad Jamil melepaskan dan membebaskan tertuduh ketiga, So Hoong Piau, 29, daripada pertuduhan itu selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa atas pertuduhan bersama-sama mengedar dadah itu di hadapan pusat rawatan, Ling Chiropractic Care, Jalan Perkasa, Aked Esplanad di Bukit Jalil, pada 6.20 petang, 21 Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang berdepan hukuman mati.
Pada tahun lepas, mahkamah memerintahkan tiga rakan itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka di akhir kes pendakwaan.
Perbicaraan kes di peringkat pendakwaan bermula 13 Mac 2023 dengan enam saksi memberi keterangan manakala perbicaraan di peringkat pembelaan pada 5 Dis 2023 membabitkan tujuh saksi memberi keterangan termasuk tiga tertuduh itu.
Terdahulu, peguam Syaheera Rosli mewakili Lee memohon hukuman pemenjaraan memandangkan hukuman gantung sampai mati telah dimansuhkan selain anak guamnya memberikan kerjasama yang baik sepanjang prosiding kes itu.
Peguam Manveer Singh mewakili Chen memohon anak guamnya dikenakan hukuman penjara yang rendah atas faktor umur selain dia perlu menanggung ibunya.
Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamed pula memohon kedua-dua tertuduh dijatuhi hukuman mati dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh serta keseriusan kesalahan itu.
-- BERNAMA
#dihukum penjara seumur hidup
#Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
#edar methamphetamine
#gagal menimbulkan keraguan munasabah