Dua rakan didakwa guna bahan letupan buatan sendiri

Bernama
Mei 12, 2023 09:01 MYT
Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. -Gambar hiasan/pexels
KUALA LUMPUR: Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan bahan letupan buatan sendiri di hadapan sebuah kedai haiwan eksotik, minggu lepas.
Alex Lau Kwang Lee, 32, dan Lai Meng Sien, 34, didakwa bersama-sama melakukan perbuatan itu yang boleh membahayakan nyawa atau kerosakan ke atas harta milik Yong Yiam Whey, 44, di hadapan sebuah kedai di Brickfields di sini pada 5 pagi, 2 Mei lepas.
Kedua-dua lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Hafiezah Mohamed Fauzi menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.
Peguam Mohd Izhar Ahmad Azmi yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah, mengambil kira kedua-dua tertuduh dapat hadir ke mahkamah pada tarikh dan masa yang ditetapkan.
"Anak guam saya iaitu Alex bekerja di bahagian logistik dan penanggung tunggal keluarga yang mempunyai seorang isteri serta empat anak manakala tertuduh kedua (Lai) bekerja di kedai jual alat ganti telefon bimbit berpendapatan RM1,500 sebulan dan masih bujang," kata peguam itu.
Majistret Nur Farahain Roslan membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan bagi serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan polis menerima laporan berhubung insiden letupan yang berlaku dalam sebuah kedai berpunca daripada tiga paip plastik (PVC) diubah suai menjadi bom buatan sendiri.
Hasil pemeriksaan polis menemukan tiga paip PVC berwarna putih yang telah diubah suai menjadi bahan letupan selain alat kawalan jauh yang digunakan untuk meletupkan bom berkenaan.
Siasatan lanjut polis turut menemukan tiga kesan cap jari di lokasi kejadian dan pemeriksaan terhadap kamera litar tertutup berjaya mengesan pergerakan dua suspek lelaki di kawasan berkenaan.
-- BERNAMA
#Alex Lau Kwang Lee #bahan letupan buatan sendiri #kedai haiwan eksotik #Lai Meng Sien