Dua pusat pemindahan dibuka, 77 mangsa terlibat banjir kilat Perak

Nazialita Geynna Maharan
September 30, 2017 01:27 MYT
Tiga keluarga melibatkan seorang warga emas di sekitar Kg Pantai Besar, Ijok, terjejas berikutan hujan lebat sejak pagi Khamis di Selama. - Astro AWANI / NAZIALITA GEYNNA MAHARAN
Dua pusat pemindahan telah dibuka bagi menempatkan seramai 77 penduduk di sekitar daerah ini berikutan banjir kilat yang berlaku pada petang Jumaat.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kecil Selama, Leftenan (PA) Azman Amat berkata, kedua-dua pusat pemindahan tersebut melibatkan dua kawasan sekitar Selama dan Batu Kurau.
Katanya, seramai 11 orang ditempatkan di Sekolah Agama Rakyat Pantai Besar Ijok, Selama manakala 66 dipindahkan ke Sekolah Kebangsaan Pantai Besar Batu Kurau berikutan banjir tersebut.
"Seramai tiga keluarga melibatkan seorang warga emas perempuan di sekitar Kg Pantai Besar, Ijok terjejas di sekitar Selama berikutan hujan lebat sejak pagi Khamis.
"Manakala di Batu Kurau, mangsa terjejas di Kg Pantai Besar pula membabitkan seramai 66 orang termasuk seorang bayi lelaki, dan keseluruhannya adalah 23 keluarga," katanya kepada pemberita dalam laporan JPBD di sini pada lewat malam Jumaat.
Azman berkata, kedua-dua pusat tersebut dibuka sekitar 7.25 malam berikutan paras air yang meningkat secara berterusan di kawasan perumahan mereka.
Katanya, seramai 51 anggota penguatkuasaan melibatkan beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia membantu dalam proses pemindahan.
"Buat masa ini, pemantauan akan dilaksanakan sehingga paras air selamat," tambahnya.
#Azman Amat #banjir #Batu Kurau #Larut #mangsa #pusat pemindahan #Selama