Dua pusat panggilan judi sasar mangsa dari Bangladesh diserbu
Bernama
September 10, 2023 13:57 MYT
September 10, 2023 13:57 MYT
KUALA LUMPUR: Dua premis yang dijadikan pusat panggilan untuk mempromosikan perjudian dalam talian dengan menyasarkan mangsa dari Bangladesh, diserbu polis dalam operasi di Lembah Klang, di sini Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Aimihizam Abdul Shukor berkata dalam serbuan itu, 12 individu termasuk enam lelaki warga asing berusia 19 hingga 37 tahun ditahan dan rampasan termasuk barangan elektronik seperti komputer, telefon bimbit, kad akses dan tiga pasport serta kunci rumah.
"Pemeriksaan awal mendapati adanya unsur mempromosikan perjudian dalam talian menggunakan laman sesawang dan semua suspek ditahan berperanan sebagai penyelia dan pegawai khidmat pelanggan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Aimihizam berkata enam lelaki yang ditahan direman tiga hari sehingga esok manakala bakinya direman empat hari hingga Selasa bagi siasatan mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
-- BERNAMA