Dua pusat hiburan di Langkawi beroperasi tanpa lesen diserbu

Adie Sufian Zulkefli
Oktober 26, 2021 13:17 MYT
Kedua-dua premis juga melanggar SOP kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan membenarkan pelanggan berkumpul di dalam ruang tertutup. - Foto Astro AWANI
LANGKAWI: Dua pusat hiburan di Pantai Chenang di sini diserbu malam tadi atas kesalahan beroperasi tanpa lesen dan cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan lesen perniagaan kafe.
Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama Ibu Pejabat Daerah (IPD) Langkawi.
Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kedua-dua premis juga melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan membenarkan pelanggan berkumpul di dalam ruang tertutup.
Katanya, menerusi serbuan pertama pada jam 10 malam, 35 individu terdiri dari pelanggan, pekerja serta penjaga premis ditahan kerana melanggar SOP.
Kesemua yang ditahan berusia antara 20 dan 30 tahun, termasuk tujuh wanita.
Serbuan kedua melibatkan sebuah premis yang menjalankan modus operandi sama, malah membenarkan kumpulan muzik bermain di dalam pub.
Dalam serbuan ini, 16 individu termasuk penjaga dan pekerja premis ditahan.
Hasil pemeriksaan mendapati, empat daripada individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan pelbagai kesalahan.
Kamarul Zaman berkata, kesemua pelanggan terbabit dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana melanggar Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (PPPPB) Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempat Jangkitan (Pelan Pemulihan Negara) 2021.
Sementara itu, dua pemilik premis dikompaun RM25,000 mengikut Peraturan 16 PPPPB 2021 kerana menjalan aktiviti yang tidak dibenarkan serta beroperasi tanpa lesen mengikut Sek 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997.
Polis turut merampas tiga keping resit bayaran pelanggan, satu telefon bimbit dan satu pembesar suara bagi membantu siasatan.
Katanya, operasi dijalankan bagi mengekang kelakuan pelancong dalam membantu membendung penularan COVID-19 di pulau peranginan itu.
#Langkawi #pusat hiburan #beroperasi tanpa lesen #lesen perniagaan kafe
;