Dua pucuk pistol, 18 peluru dirampas dari pasangan suami isteri

Muhafandi Muhamad
Februari 28, 2018 17:42 MYT
Pasangan suami isteri yang berusia 27 dan 29 tahun itu ditahan kerana memiliki pistol semi auto jenis Steyer dan Barreta yang dipercayai dibeli dari negara jiran. Foto: Astro AWANI
Polis Kelantan berjaya merampas dua pucuk pistol beserta 18 butir peluru dari sepasang suami isteri dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Bakti, Gual Tinggi, Rantau Panjang, tengah malam semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanuddin Hassan berkata, pasangan suami isteri yang berusia 27 dan 29 tahun itu ditahan kerana memiliki pistol semi auto jenis Steyer dan Barreta yang dipercayai dibeli dari negara jiran.
“Semasa tangkapan dilakukan oleh pegawai polis dari Pasukan Gerakan Am, PGA Batalion 9, Kuala Terengganu itu, pasangan berkenaan cuba menawarkan rasuah dalam bentuk wang tunai bernilai RM1,700.
“Siasatan awal pihak polis mendapati salah satu pistol yang dirampas itu akan dijual kepada seorang individu dari Kuala Lumpur manakala sepucuk lagi digunakan oleh suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta senjata api (penalti lebih berat) 1971 serta Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
Dalam perkembangan berasingan, polis Kelantan memaklumkan telah menerima satu laporan dari sebuah parti politik berkaitan perpindahan pengundi di satu kawasan di sini.
Tambah Hassanuddin, pihaknya akan menjalankan siasatan susulan laporan yang dibuat.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya akan mengadakan satu simulasi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Sabtu ini untuk mempersiapkan kecekapan anggota dalam menghadapi PRU14.
“Rakyat Kelantan di minta untuk tidak gusar apabila melihat jumlah polis yang ramai di sesuatu tempat serta demostrasi kepungan kawasan yang merupakan sebahagian daripada latihan simulasi tersebut,” katanya.
#Barreta #Datuk Hassanuddin Hassan #Ketua Polis Kelantan #pistol #polis #PRU14 #SPRM #Steyer #suami isteri #suspek
;