Dua projek infra bernilai lebih RM137 juta di Langkawi dijangka siap ikut masa - KKR
Bernama
Mac 10, 2024 19:45 MYT
Mac 10, 2024 19:45 MYT
ALOR SETAR: Dua projek infrastruktur di Langkawi bernilai lebih RM137 juta dijangka siap mengikut masa yang ditetapkan iaitu pada Januari tahun hadapan.
Menurut Kementerian Kerja Raya (KKR), dua projek tersebut adalah pembinaan Kuarters Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bernilai RM88.775 juta dan pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bohor Jaya bernilai RM48.946 juta.
"Pembinaan Kuarters Kakitangan (KKM) dijangka siap pada 25 Jan 2025 akan mengandungi tiga blok iaitu dua blok 10 tingkat, satu blok tujuh tingkat yang berjumlah 180 unit dan berkeluasan 1,200 kaki persegi.
"Kuarters ini bila siap kelak dilengkapi dengan satu unit surau, satu unit taska dan dewan serba guna akan memudahkan penempatan kakitangan KKM di Langkawi yang terkenal dengan harga sewa yang mahal," menurut KKR dalam kenyataan hari ini.
Menurut KKR, projek pembinaan SMK Bohor Jaya yang bermula pada 21 Julai 2022 pula dijangka siap pada 29 Jan 2025.
Projek tersebut melibatkan 30 bilik darjah yang dapat menampung 900 pelajar dan dilengkapi dengan kemudahan seperti dewan sekolah, gelanggang sukan, padang bola sepak, perpustakaan, kantin dan lain-lain kemudahan.
Sementara itu, dalam kenyataan sama KKR memaklumkan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan melakukan lawatan kerja sehari ke Langkawi hari ini bagi meninjau kemajuan kedua-dua projek berkenaan.
Ahmad sebelum itu turut melawat Jambatan Sungai Perangin yang baru siap dibina menggantikan jambatan lama yang dikenali sebagai Jambatan Sungai Perangin, Oriental Village.
Projek jambatan tersebut mula dilaksanakan pada 30 Okt 2020 oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Langkawi dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merupakan agensi pelanggan bagi projek tersebut.
"Projek ini telah siap sepenuhnya pada 24 Jan lalu dengan anggaran kos projek berjumlah RM7.877 juta," katanya.
-- BERNAMA