Dua program baharu Taylor's University, mempersiapkan graduan penuhi pasaran digital

Haikal Raman
Januari 17, 2023 21:55 MYT
Taylor's University melabur lebih RM1.2 juta bagi melengkapkan fasiliti XR bersama integrasi realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) dan realiti campuran (MR).
KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan dan penasihat global, Gartner meramal sebanyak 70 peratus perusahaan khususnya sektor peruncitan akan bereksperimentasi dengan teknologi imersif dalam perniagaan mereka bagi manfaat kepada pengguna dan pertumbuhan perniagaan.
Melihat perkara tersebut, Taylor’s University melancarkan dua program baharu dan pertama seumpamanya di Malaysia, Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Ruang Interaktif (Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Pengurusan Pembinaan Digital Lestari sebagai usaha melahirkan graduan yang memenuhi permintaan pakar bagi teknologi dan digital masa hadapan.
Dekan Eksekutif Fakulti Inovasi dan Teknologi Taylor’s University, Profesor Dr. David Asirvatham berkata, program inovatif tersebut dilengkapi dengan fasiliti pusat pembelajaran realiti lanjutan (XR) masa depan bertaraf dunia di Asia Tenggara, Taylor’s Virtual Online Future Technology & Extended Reality (makmal VORTEX XR).
“Kami memperuntukkan pelaburan lebih RM1.2 juta bagi melengkapkan fasiliti XR bersama integrasi realiti terimbuh (AR), realiti maya (VR) dan realiti campuran (MR). Ia membolehkan akses kepada peralatan realiti kehidupan sebenar terkini dan kemahiran khusus yang sangat membantu dalam pengajaran dan pembelajaran penciptaan kandungan serta idea.
“Ia turut membolehkan capaian kepada reka bentuk dan pengalaman prototaip mengujakan selaras dengan usaha berterusan XR. Perkara ini menyokong langkah universiti dalam mengubah kurikulum dan pedagogi pembelajaran melalui gabungan kemahiran teknologi serta modul bersama keseluruhan pertumbuhan digital semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI ketika ditemui pada majlis pelancaran dua program baharu tersebut di sini pada Khamis.
Pengkhususan Reka Bentuk Ruang Interaktif (Kepujian)
Makmal VORTEX XR menyokong semua pusat pengajian di Taylor’s University daripada fakulti hospitaliti dan seni bina kepada reka bentuk, undang-undang, komunikasi, perubatan, seni kulinari serta beberapa lagi.
Menurut David, pihaknya percaya bahawa program tersebut mampu memenuhi permintaan bakat digital dan mengisi jurang dalam kepakaran teknologi dengan melahirkan graduan berkemahiran dalam teknologi interaktif melalui program yang inovatif.
“Program ini menawarkan dua pengkhususan, Reka Bentuk Rumah Pintar dan Reka Bentuk Persekitaran Pintar yang mana para pelajar mempunyai tiga pilihan landasan pembelajaran untuk dipilih.
“Mereka boleh memilih untuk membuat latihan amali konvensional, pengalaman pembelajaran berasaskan kerja dengan rakan industri termasuk FrameMotion Studio Sdn. Bhd., Virtual X Malaysia dan HONOR atau mod teknousahawan dengan bimbingan inkubator permulaan usahawan Taylor’s University, BizPod,” ujarnya.
Program tersebut bakal melahirkan pereka, ahli teknologi dan usahawan teknologi yang bijak merekabentuk digital dalam merangsang pengalaman ruang mengasyikkan bagi ruang bandar, persembahan, muzium, galeri dan banyak lagi.
Pedagogi Taylor's | Lancar dua program baharu, perkasa kebolehpasaran graduan
Pengkhususan Pengurusan Pembinaan Digital Lestari
Manakala bagi program Pengurusan Pembinaan Digital Lestari, ia direka dengan cemerlang untuk diselaraskan bersama piawaian kecekapan serta rangka kerja pendidikan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan Institut Bangunan Bertauliah.
Program ini menawarkan dua pengkhususan iaitu Pembinaan Hijau dan Pembinaan Pintar.
Meskipun modul Pembinaan Pintar memperkenalkan teknologi melibatkan aplikasi internet benda (IoT), pemodelan maklumat bangunan termaju (BIM) dan realiti lanjutan dalam pembinaan, namun ia kekal menerapkan usaha pemuliharaan tenaga, pengurangan sisa dan kitar semula yang menekankan pendekatan kemampanan.
Pengkhususan bagi program baharu itu adalah selaras dengan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 2021–2025 yang dibentangkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan dan berkaitan dengan Pembinaan 4.0, malah perniagaan hijau dijangka menyumbang sekitar RM60 bilion menjelang 2030 kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara.
Dengan membantu pelajar menerima transformasi IR4.0, program tersebut akan menggabungkan teknologi digital seperti pengimbasan laser, dron, kecerdasan buatan, AR dan percetakan 3D.
Taylor's University akan membuka pengambilan pelajar pertamanya bagi program baharu pada Mac 2023 dengan mempunyai dua pengambilan setiap tahun pada bulan Mac dan Ogos.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Ijazah Sarjana Muda baharu tersebut, layari laman web rasmi di www.university.taylors.edu.my
#IR4 0 #taylor's university #Future Technology #Gartner
;