Dua premis makanan kotor diarah tutup

Sinar Harian
Januari 28, 2022 06:50 MYT
Dr Nor Azimi melakukan pemeriksaan ke atas ruang penyimpanan barang mentah sebuah premis makanan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Mega PPKHT 2004, Akta 342 dan Akta Makanan 1983 Peringkat JKNP, pada Jumaat. - Foto Sinar Harian
KUANTAN: Dua premis makanan di sini diarah tutup serta-merta selepas dikesan berada dalam keadaan kotor dan tidak mencapai standard kebersihan ditetapkan.
Lebih menjijikan, hasil pemeriksaan di dapur salah satu premis itu, pegawai penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) turut menemui najis kucing dan tikus, selain beberapa kesalahan lain melibatkan aspek kebersihan.
Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, dalam pemeriksaan itu, pihakya turut mengesan tindakan pengusaha menyimpan makanan siap dimasak bersama makanan mentah.
Menurutnya, dua premis tersebut diambil tindakan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan diarah tutup selama 14 hari untuk kerja-kerja pembersihan.
"Tindakan kompaun turut diambil ke atas beberapa premis makanan kerana tahap kebersihan kurang memuaskan selain kompaun atas kesalahan gagal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Akta 342 kepada pelanggan dan pengusaha," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Mega Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, Akta 342 dan Akta Makanan 1983 Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Pahang di sini, pada Jumaat.
Dr Nor Azimi berkata, sehingga 22 Januari tahun ini, sebanyak 10 premis makanan diarah tutup kerana kotor dan 178 notis kesalahan bernilai RM36,300 telah dikeluarkan kepada pengendali makanan.
"Sepanjang tahun lalu, sebanyak 92 premis diarah tutup atas kesalahan sama manakala 1,586 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM304,150 melibatkan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 telah dikeluarkan.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 750 atau 47.2 peratus notis kesalahan yang dikeluarkan berkaitan pengendali makanan," katanya.
Dr Nor Azimi menampal notis arahan tutup ke atas sebuah premis makanan dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Mega PPKHT 2004, Akta 342 dan Akta Makanan 1983 Peringkat JKNP, pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Dr Nor Azimi berkata, bagi tempoh sehingga 22 Januari ini juga, JKNP mengeluarkan 42 kompaun bernilai RM42,000 atas kesalahan gagal mematuhi SOP PPN Akta 342.
"Kesalahan utama yang dikesan adalah gagal menggunakan aplikasi MySejahtera, gagal memakai pelitup muka dan engkar perintah kuarantin.
"Secara keseluruhan untuk tahun lalu, JKNP mengeluarkan 2,040 kompaun melibatkan kesalahan pematuhan SOP di bawah Akta 342 dengan nilai kompaun RM4.02 juta.
"Daripada jumlah itu, 1,995 kompaun dikeluarkan atas kesalahan individu manakala 45 kompaun dikeluarkan atas kesalahan perbadanan atau syarikat," katanya.
Tambah beliau, bagi kesalahan di bawah PPKHT 2004, sebanyak 2,091 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM 515,900 dikeluarkqn sepanjang tahun lalu manakala sehingga 22 Januari tahun ini, sebanyak 115 notis kesalahan bernilai RM23,250 dikeluarkan.
"Daripada jumlah notis yang dikeluarkan, kesalahan merokok di premis makanan( 62 notis), lain-lain tempat larangan merokok (20 notis) dan masing masing lima notis bagi kesalahan merokok orang bawah umur dan penjualan rokok bawah harga minimum," katanya.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#Nor Azimi Yunus #premis makanan #kotor #Najis
;