Dua persatuan polis terima baik penubuhan IPCC

Astro Awani
Oktober 7, 2021 23:09 MYT
Penubuhan IPCC oleh kerajaan disifatkan turut dapat memberikan fokus kepada aspek kebajikan warga polis. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Persatuan Pegawai Polis (PPKP) dan Persatuan Pegawai Rendah Polis Diraja Malaysia (PPRPD) menerima baik penubuhan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) kerana menganggapnya penting dalam mengembalikan keyakinan masyarakat kepada pasukan itu.
Presiden PPKP, SAC Mohd Asri Md Akhir dan Presiden PPRPD, SI Ayub Shafii dalam kenyataan bersama pada Khamis berkata penubuhan IPCC oleh kerajaan turut dapat memberikan fokus kepada aspek kebajikan warga polis.
"PPKP dan PPRPD telah ditaklimatkan mengenai IPCC. PPKP dan PPRPD juga telah berbincang dengan jawatankuasa teknikal serta pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penubuhan IPCC.
"Setelah meneliti perbezaan antara IPCC dengan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang tidak dipersetujui sebelum ini, PPKP dan PPRPD menerima baik penubuhan IPCC yang merupakan cadangan titik tengah untuk mengambil kira kepentingan masyarakat serta warga polis," menurut kenyataan itu.
Sebelum ini, kerajaan terdahulu bawah Pakatan Harapan (PH) bercadang menubuhkan IPCMC bagi mengurus isu berkaitan salah guna kuasa oleh anggota polis.
Bagaimanapun, penubuhan IPCMC mengundang bantahan dalam kalangan polis kerana ia memperuntukkan kuasa kepada suruhanjaya terbabit untuk menyiasat, menentukan dan mengambil tindakan terhadap individu dituduh.
IPCMC juga membolehkan siasatan bebas dijalankan ke atas aduan melibatkan pihak polis.
Kemudiannya, RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2020 dibentang memberi kelainan apabila sebarang tindakan selepas mempertimbangkan dapatan dan syor jawatankuasa aduan akan dilakukan agensi berkaitan, mengikut bidang kuasa masing-masing.
#PDRM #IPCC #IPCMC #Persatuan Pegawai Polis
;