Dua penyandang gagal pertahan jawatan Naib Presiden PBB

Bernama
Oktober 21, 2013 23:30 MYT
Dua penyandang jawatan naib presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) gagal mengekalkan jawatan mereka dalam pemilihan parti itu yang diadakan di sini malam ini.
Bekas Menteri Pelancongan yang juga Anggota Parlimen Mukah Datuk Seri Muhammad Leo Michael Toyad dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Sarawak Datuk Daud Abdul Rahman kalah dalam pemilihan itu setelah masing-masing hanya memperoleh 300 undi dan 351 undi.
Menteri Muda Pelancongan Sarawak Datuk Talip Zulpilip memperoleh jumlah undi tertinggi sebanyak 780 dalam pemilihan itu untuk memenangi satu daripada tiga jawatan naib presiden yang diperuntukkan bagi sayap Bumiputera, diikuti Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Datuk Julaihi Narawi dengan 552 undi.
Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Wahab Aziz menjadi satu-satunya penyandang yang berjaya mengekalkan jawatan itu dengan memperoleh 546 undi.
Seorang lagi calon, Datuk Bolhassan Di yang merupakan bekas menteri muda Sarawak juga gagal memenangi jawatan itu setelah hanya dapat meraih 171 undi.
Sebelum ini, dua jawatan naib presiden untuk sayap Pesaka parti itu dimenangi tanpa bertanding oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Komunikasi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong dan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Alexander Nanta Linggi.
Sementara itu, lapan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sarawak dan seorang Anggota Parlimen adalah antara 11 calon yang berjaya memenangi jawatan anggota Majlis Kerja Tertinggi parti itu bagi sayap Bumiputeranya.
Mereka terdiri daripada Dr Abdul Rahman Ismail yang merupakan Adun Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Junaidi (Adun Pantai Damai), Datuk Len Talif Salleh (Adun Belawai), Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud (Adun Muara Tuang), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (Adun Asajaya), Ricky@Razi Sitam (Adun Saribas), Dr Hazland Hipni (Adun Demak Laut), Dr Murni Suhaili (Adun Daro) dan Anggota Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang.
Bekas anggota Dewan Negara Datuk Idris Buang dan bekas Adun Lambir Datuk Aidan Wing turut memenangi jawatan itu.
#Naib Presiden #PBB #pemilihan parti #Sarawak