Dua penuntut Polisas maut motosikal hilang kawalan
Sinar Harian
Oktober 28, 2024 11:10 MYT
Oktober 28, 2024 11:10 MYT
KUANTAN: Dua penuntut Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) maut selepas motosikal yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di Jalan Pintasan Kuantan berdekatan Loji Rawatan Air Semambu di sini, pagi ini.
Penunggang motosikal, Muhamad Nor Iman Mahadi yang beralamat di Kampung Tanjong Chat, Kota Bharu Kelantan dan pembonceng, Muhammad Adib Suhail Jaeh, dari Taman Pulai Indah, Johor disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa berusia 20 tahun itu dari arah Kuantan menghala ke arah Taman Dato Rashid.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke atas jalan raya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya hari ini. - Sinar Harian