Dua penuntut maut, dua kritikal terhidu karbon monoksida ketika tidur dalam kereta

Dewi Nur Harasha Alias
September 17, 2020 16:53 MYT
Semua mangsa merupakan rakan baik dan belajar di kolej yang sama dalam jurusan farmasi dan kini sedang menunggu hari konvokesyen. -Astro AWANI
Dua penuntut kolej maut manakala dua lagi rakan mereka kritikal akibat lemas terhidu gas karbon monoksida ketika tidur di dalam kereta di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Samagagah, di sini, pada Khamis.
Dalam kejadian yang disedari kira-kira jam 1.40 pagi itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, 21, dan Ayuni Shazwanie Shabri, 21, masing-masing meninggal dunia di tempat kejadian dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Rakan mereka yang juga pasangan kembar berusia 21 tahun pula tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di hospital di Lumut dan Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata kejadian berlaku ketika empat sahabat itu berhenti untuk berehat di stesen minyak berkenaan malam tadi.
"Siasatan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kereta Honda Odyssey yang dipandu pasangan kembar berhenti dan parkir di stesen minyak itu pada jam 8.30 malam.
"Keempat-empat mereka keluar dari kereta untuk membeli makanan dan masuk semula ke dalam kereta," katanya di sini, pada Khamis.
Shafee berkata, kejadian itu disedari oleh bapa Ayuni Shazwanie yang menemui kereta mereka di lokasi kejadian.
Terdahulu, lelaki itu yang tinggal di Kedah keluar mencari anaknya apabila wanita itu tidak pulang ke rumah selepas kali terakhir menghantar mesej kepada ibunya pada jam 9.15 malam.
"Bapa Ayuni Shazwanie menemui kereta yang dinaiki anaknya bersama rakan di stesen minyak itu dan terkejut apabila mendapati enjin kereta masih hidup namun mereka tidak sedarkan diri.
"Bapa mangsa kemudian menghubungi petugas perubatan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Beliau berkata, semua mangsa berasal dari Sungai Petani dan Gurun, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang semalam sempena cuti Hari Malaysia.
Katanya, semua mangsa merupakan rakan baik dan belajar di kolej yang sama dalam jurusan farmasi dan kini sedang menunggu hari konvokesyen.
#bapa temui anak #gas monoksida #keracunan gas #lemas #pasangan kembar #penuntut kolej #PLUS #Sungai Petani #tidur dalam kereta
;