Dua penuntut IPT lemas ketika mandi air terjun

Bernama
Julai 24, 2024 12:34 MYT
Bomba menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan tujuh lelaki dewasa yang juga penuntut IPT di Kuantan, Pahang mandi di kawasan itu. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Dua penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) lemas ketika mandi di Air Terjun Lubuk Kain di Kampung Shukur, Dungun tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Al Muktafi Billal Shah (AMBS) Sharifuddin Ali berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 12.36 tengah hari sebelum menggerakkan sembilan anggota dan tiga jentera ke lokasi.
"Bomba menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan tujuh lelaki dewasa yang juga penuntut IPT di Kuantan, Pahang mandi di kawasan berkenaan.
"Didapati dua mangsa lemas, manakala lima yang lain selamat. Kedua-dua mangsa ditemukan oleh orang awam pada kedalaman 10 meter di dasar lubuk sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Sharifuddin berkata mangsa yang kedua-duanya berumur 20 tahun itu dikenali sebagai Muhammad Danial Danish Kamal dan Nor Mukhriz Nor Mohamad.
Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
#lemas #penuntut IPT #air terjun #bomba