Dua penunggang motosikal maut diseret lori

Bernama
Disember 22, 2023 15:32 MYT
Dua penunggang motosikal berusia 49 dan 54 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan. - Gambar/ Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Dua penunggang motosikal dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura maut dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Plaza Tol Tanjung Kupang arah Selatan, Iskandar Puteri awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata dalam kejadian pukul 5.50 pagi itu, sebuah lori dipercayai mengalami masalah brek dan hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah treler, sebuah bas dan dua motosikal yang berada di lorong kiri plaza tol itu.
"Akibat kemalangan itu, dua penunggang motosikal berusia 49 dan 54 tahun maut di tempat kejadian disebabkan oleh kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan akibat diseret lori terbabit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pemandu treler dan pemandu bas serta kesemua 29 penumpang tidak cedera, manakala pemandu lori itu mengalami sakit dada dan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
"Kesemua 29 penumpang di dalam bas terbabit telah dipindahkan ke sebuah bas ganti untuk ke Singapura," katanya.
Rahmat berkata kedua-dua mayat penunggang motosikal itu dibawa ke Hospital Sultanah Aminah di sini untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA
#kemalangan maut #Iskandar Puteri #lori rosak #brek rosak
;