Dua penunggang motosikal maut bertembung

Sinar Harian
Disember 10, 2023 11:40 MYT
Keadaan motosikal mangsa remuk selepas terlibat kemalangan. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Dua penunggang motosikal maut selepas bertembung dalam kemalangan di Kilometer 27 Jalan Gua Musang-Limau Kasturi pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foon berkata, ketika kejadian kira-kira jam 9.45 malam itu, mangsa, Muhamad Aifan Kamal Harman, 19, menunggang motosikal dari arah Limau Kasturi menghala ke Jeram Tekoh.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi berkenaan, motosikalnya tiba-tiba bertembung dengan sebuah lagi motosikal yang ditunggang lelaki berusia 21 tahun.
"Penunggang terbabit yang bekerja sebagai mekanik, Abdullah Aiman Mohd Aziman sebelum itu dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan Muhamad Aifan Kamal," katanya melalui kenyataan pada Ahad.
Choon Foon memberitahu, akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia susulan kecederaan parah di kepala.
Tambah beliau, kedua-dua mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil bekerjasama untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 013-3010408. - Sinar Harian
#Nahas #motosikal #bertembung #Sik Choon Foon
;