Dua penunggang motosikal cedera, berlanggar satu sama lain di WCE

Aida Aziz
April 17, 2023 08:30 MYT
Keadaan motosikal yang terlibat dalam nahas di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE). - Foto JBPM Perak
TELUK INTAN : Dua lelaki cedera setelah motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang mereka berlanggar antara satu sama lain di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), arah selatan, di sini malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.58 malam.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dikejarkan ke lokasi dan mendapati berlaku kebakaran membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ.
"Motosikal tersebut terbakar sebanyak 90 peratus akibat pelanggaran dengan sebuah lagi motosikal jenis sama.
"Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital oleh orang awam sebelum bomba tiba," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Katanya lagi, anggota bomba kemudiannya memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran hose reel sehingga api padam sepenuhnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Noor Ahmad Mohd Sharif itu tamat jam 10.10 malam.
#kemalangan #motosikal #berlanggar #WCE
;