Dua penunggang maut, Y15ZR hilang kawalan

Sinar Harian
Mac 8, 2025 16:15 MYT
Gambar kiri: Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang terbabas di Jalan Pintasan Kuantan pada pagi Sabtu. Gambar kanan: Motosikal ditunggang mangsa dalam kejadian di Besut, Terengganu. - Sinar Harian
KUANTAN: Seorang penunggang maut selepas motosikal yang ditunggang hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran simpang Perumahan Damansara di sini pada awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam nahas kira-kira jam 3.20 pagi itu, mangsa Muhammad Fakhrul Aiman Mat Rapi, 23, beralamat di Kampung Tengah di sini disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori dipercayai dalam perjalanan dari arah Balok menghala ke Indera Mahkota.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kanan jalan.
"Akibat kemalangan tersebut, mangsa mengalami cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu di Besut pula, seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan sebelum dilanggar sebuah kereta di laluan bertentangan dalam kejadian di Jalan Kg Tok Raja - Alor Lintah di Kampung Gong Jaga dekat sini pada Jumaat.
Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, Abdullah Yamin Abdullah, 25, meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan di Hospital Besut kira-kira jam 11.15 malam.
"Kejadian berlaku semasa mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Alor Lintah ke Kampung Tok Raja.
Sebaik sampai di Kampung Gong Jaga secara tiba- tiba mangsa telah hilang kawalan sehingga menyebabkan dia terlanggar bahagian belakang kiri sebuah kereta jenis Perodua.
"Akibat terlanggar bahagian belakang kereta itu, mangsa telah jatuh ke laluan bertentangan.
"Pada masa sama sebuah kereta jenis Toyota Avanza dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan kemudian melanggar mangsa," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Susulan dari kemalangan itu, Md Sani berkata, mangsa telah mengalami cedera parah dan dibawa ke Hospital Besut untuk mendapat rawatan lanjut.
Bagaimanapun, beliau berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Besut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Jadi pihak polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Shafiqqul Aliff Mohamad Sobri di talian 011-10929400," ujarnya. -- Sinar Harian
#penunggang maut #motosikal Yamaha Y15ZR #terbabas #Kuantan
;