Dua penumpang mati, pemandu bas mengaku tidak bersalah

Bernama
Mac 4, 2013 11:50 MYT
Seorang pemandu bas kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian dua penumpang dalam satu kemalangan jalan raya pada Disember tahun lepas.
Kamarruddin Derais, 51, dari Kampong Sempeneh Seberang, Batu Kurau, Perak, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Siti Salwa Jaafar.
Tertuduh yang memandu bas bernombor pendaftaran WCP2596 dituduh memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian Nurul Nadhirah Sudin, 21, dan Samsiah Hasan, di Kilometer 150.6 Lebuhraya Utara Selatan arah utara pada 6.15 pagi, 21 Dis 2012.
Dia didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak lebih RM20,000.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farhana Hashim manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam dibenarkan ikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin manakala lesen memandunya digantung sementara.
Mahkamah menetapkan 2 April depan untuk sebutan semula kes.
#Kamarruddin Derais #kemalangan jalan raya #Mahkamah Majistret Nibong Tebal
;