Dua penjual didenda miliki karkas babi disembelih tanpa lesen
Bernama
Julai 25, 2022 17:44 MYT
Julai 25, 2022 17:44 MYT
BUKIT MERTAJAM: Dua penjual daging babi hari ini masing-masing didenda RM4,000 dan RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam di sini kerana memiliki karkas babi yang disembelih di rumah penyembelihan tidak berlesen pada Jun lepas.
Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan menjatuhkan hukuman itu ke atas Oon Kean Wong, 51, dan Kho Eng Phoo, 43, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas kedua-duanya yang dituduh secara berasingan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka.
Oon dan Kho masing-masing didakwa memilik 167kg karkas babi dan 261kg karkas babi yang tidak disembelih di rumah penyembelihan diluluskan atau dilesenkan dengan melanggar peruntukan di bawah Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009.
Oon dituduh melakukan kesalahan itu dalam kenderaan pacuan empat roda bernombor pendaftaran PMN7112 jenis Toyota Hilux di Lebuhraya PLUS arah selatan menghala ke Bukit Mertajam di sini pada 3.50 pagi, 2 Jun lepas.
Kho pula dituduh melakukan kesalahan itu dalam sebuah lori bernombor pendaftaran PKF4188 jenis Daihatsu di tepi jalan selepas Plaza Tol Kubang Semang (BKE) menghala ke Kulim pada 2.35 pagi, 2 Jun lepas.
Mengikut fakta kes, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang telah melakukan operasi dengan merampas kenderaan dan muatan karkas babi kedua-dua OKS dan hasil siasatan mendapati karkas babi itu tidak disembelih di rumah sembelih yang diluluskan atau dilesenkan oleh JPV.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Roziman Awang Tahrin memohon hukuman denda maksimum sebagai pengajaran kepada kedua-dua OKS dan orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Mohd Harith kemudian memerintah kedua-dua tertuduh dilucutkan hak karkas babi itu manakala dua kenderaan akan diserahkan kembali selepas denda dibayar oleh OKS.
Oon dan Kho masing-masing membayar denda berkenaan.
-- BERNAMA