Dua penjual besi buruk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang pengarah urusan sebuah syarikat untuk menyerahkan cek bernilai lebih RM1.8 juta bagi bayaran bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Mac lepas.

S.Mahendran, 35, dan P.Krishnamoorthy, 48, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim G.Ramesh.

Mereka didakwa bersubahat dengan pemilik Syarikat Eagle Services & Solutions, Wan Mahrom Shah Wan Musa menipu pengarah urusan Syarikat Mettube Sdn Bhd, Sukhvinder Singh untuk mempercayai bahawa Syarikat Eagle boleh mendapatkan diskaun dua peratus daripada TNB bagi bil elektrik Syarikat Mettube.

Ini mendorong Sukhvinder Singh menyerahkan sekeping cek bernilai RM1,847,573.18 sebagai bayaran bil elektrik itu kepada Eagle Services.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di syarikat Mettube di No. 2, Persiaran Kuala Langat, Seksyen 27 di sini 29 Mac lepas dan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.

Hakim menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh dan tarikh sebutan kes pada 17 Okt depan.

Pendakwaan dikendalikan Mohd Raimi Mohd Ramli manakala Mahendran diwakili peguam Suzana Norlihan Alias dan Krishnamoorthy diwakili peguam V.Kumar.