Dua penjenayah ditembak mati di Sentul

Astro Awani
Jun 18, 2017 12:40 MYT
Pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui sepucuk pistol, dua bilah parang dan pelbagai peralatan pecah rumah. - Gambar hiasan
Dua orang penjenayah ditembak mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Bandar Baru Sentul dan Segambut awal pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Jenayah Berat D9 terserempak dengan dua penjenayah itu ketika menjalankan Ops Rantau di sebuah kawasan pembinaan di Bandar Baru Sentul.
Suspek yang berpakaian serba gelap didapati berlari keluar dari tapak projek pembinaan itu dan terus menaiki dua buah kereta jenis Proton Waja.
Selepas episod kejar mengejar, suspek berjaya dikepung.
"Penjenayah itu telah melanggar kereta kita, iaitu ke hadapan dan juga ke belakang, dan selepas itu dia telah melepaskan tembakan ke arah pihak polis.
"Demi mempertahankan diri, pihak polis telah membalas tembakan tersebut dan pihak polis telah berjaya menewaskan penjenayah tersebut," kata Mazlan kepada pemberita.
Setelah diperiksa, katanya, didapati bahawa penjenayah itu adalah seorang lelaki Melayu berumur 46 tahun dan mempunyai rekod kesalahan iaitu kes pecah rumah dan lain-lain kes.
Tambahnya, pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui sepucuk pistol, dua bilah parang dan pelbagai peralatan pecah rumah.
Manakala, menurut Mazlan, sebuah lagi kereta suspek yang memasuki Jalan Segambut berjaya dikepung selepas dikejar sejauh tujuh kilometer.
Suspek kedua ini juga bertindak sama dengan melanggar kenderaan polis dan melepaskan tembakan.
#Bandar Baru Sentul #Kuala Lumpur #Mazlan Lazim #Ops Rantau #penjenayah #polis #Segambut #tembakan
;